Empat beradik albino anugerah terindah

Pasir Mas : “Mereka sangat istimewa dan anugerah terindah dari Allah buat saya,” kata Suzita Zakaria berhubung empat daripada tujuh anaknya yang dilahirkan dengan penyakit Hidradenitis Suppurativa atau albino.

Suzita, 37, berkata, selain dilahirkan dengan penyakit albino, empat anaknya itu Muhammad Adam Harris,7, Muhammad Azim Hafiz, 6 dan pasangan kembar, Muhammad Aiman Haziq, 4 serta Muhammad Amirul Haziq, 4, mereka mempunyai masalah penglihatan iaitu silau yang menyebabkan mereka tergolong dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU).

Bercerita lanjut, Suzita yang menetap di Kampung Jejuluk, di sini mengakui terkejut selepas melahirkan anak keempat kerana pertama kali mendapat zuriat yang menghidap penyakit albino.

Bagaimanapun, Suzita berkata, doktor ada memberitahu kemungkinan dia mendapat zuriat dengan penyakit sama jika hamil anak kelima dan seterusnya, menyebabkan dia lebih bersiap sedia.

“Anak pertama hingga ketiga saya normal dan disebabkan itu terkejut apabila yang keempat (Muhammad Adam Harris) menghidap albino.

“Saya ada lakukan ujian imbasan dalam tempoh kehamilan tetapi doktor hanya dapat mengesan jantina, bukan penyakit berkenaan.

“Jadi, saya hanya tahu mengenainya selepas melahirkan mereka namun terima ketentuan itu dengan reda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

 

Menurut Suzita, memang ada individu sekeliling yang hairan apabila melihat empat anaknya itu hingga membuat andaian mereka menghidap penyakit kronik seperti leukemia dan tidak cukup darah.

Bagaimanapun, Suzita bersyukur kerana keempat-empat anaknya itu sihat dan bebas daripada penyakit kronik.

“Biasalah, ada orang akan memandang pelik malah tiga anak saya yang normal juga ada bertanya pada peringkat awal dulu kerana menyangka adik mereka sakit.

“Sebagai ibu, saya cuba terangkan kepada anak-anak dan Alhamdulillah, mereka dapat menerima adik mereka dengan baik.

“Sejak bayi lagi anak-anak sudah didedahkan dengan matahari walaupun kulitnya begitu dan mereka sihat, tiada penyakit atau sebarang alahan kecuali masalah silau.

“Mereka perlu gunakan cermin mata. Saya dan suami pula harus membawa empat anak kami itu bertemu pakar mata sekurang-kurangnya tiga kali dalam setahun untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

@faisal_030921

Balas kepada @kiekin_ done #fyp #fypシ #matsallehcelup #pasirmas #tiktokmalaysian #Albino #kitasupportkita #kelantan

♬ bunyi asal – muhdfaisal

 

Menurut Suzita, dia tidak sangka kisah empat anaknya itu mendapat perhatian netizen selepas sepupunya, Muhammad Faisal Muhammad Yusoff, 18, memuat naik video di TikTok.

“Saya dan suami terkejut apabila dapat tahu kisah anak tular kerana tiada niat ke arah itu (tular).

“Bagaimanapun, saya bersyukur dan anggap ia rezeki buat anak istimewa jadi dikenali dalam sekelip mata,” katanya.

 

Sementara itu, Muhammad Faisal berkata, dia memang rapat dengan anak kepada sepupunya itu sejak mereka kecil lagi.

“Mereka tinggal di sebelah rumah saya jadi kami kerap bertemu satu sama lain. Mereka memanggil saya dengan gelaran Pok Sa dan ikutkan saya pernah kongsi kisah mereka di TikTok sebelum ini.

“Cuma, video baru-baru ini meraih tontonan jauh lebih tinggi hingga membuatkan lebih ramai netizen mahu tahu lebih lanjut mengenai kisah empat beradik itu,” katanya.

sumber : hmetro

Be the first to comment on "Empat beradik albino anugerah terindah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*