Kod QR SmartHalal mudahkan carian status halal

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini melancarkan Kod QR SmartHalal pada aplikasi telefon pintar SmartHalal, bagi memudahkan masyarakat memperoleh status halal sesuatu produk atau perkhidmatan di pasaran.

Inisiatif jabatan itu membolehkan pencarian dijalankan dengan lebih cepat dan tepat melalui teknik pengimbasan kod.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata inisiatif prihatin rakyat itu juga akan memudahkan pemain industri memperoleh pelbagai informasi berkaitan pensijilan halal terkini dengan lebih pantas.

Dengan pengenalan aplikasi SmartHalal itu, katanya, ia mampu meningkatkan permohonan dan pemilikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

 

“Kod QR (quick response) atau QR Code, adalah kod bar generasi kedua, sejenis penyimbolan dua dimensi yang dibangunkan oleh sebuah syarikat Jepun iaitu Denso Wave dan dikeluarkan pada 1994.

“QR Code dapat menyimpan maklumat lebih banyak daripada kod bar UPC biasa kerana ia mengandungi maklumat secara menegak serta mendatar.

“Hanya sekali imbas menggunakan aplikasi seperti aplikasi telefon pintar SmartHalal yang disediakan, anda akan memperoleh pelbagai maklumat pensijilan halal yang ingin dikongsikan,” katanya ketika melancarkan Kod QR SmartHalal secara maya, petang ini.

 

Hadir sama, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Bukhari Md Akhir.

Zulkifli berkata, JAKIM akan terus mengemas kini sistem Kod QR SmartHalal yang ada pada aplikasi telefon pintar SmartHalal agar ia sentiasa relevan dan mengikut perkembangan semasa untuk digunakan oleh semua pihak.

Beliau berkata, pengguna boleh membuat carian menggunakan Kod QR berdasarkan kategori dan skim seperti nama syarikat, premis makanan, produk farmaseutikal, barang gunaan, kosmetik dan dandanan diri, logistik, makanan dan minuman, rumah sembelihan, pengilangan kontrak dan yang terkini, peranti perubatan.

Katanya, pengguna perlu memuat turun aplikasi telefon pintar SmartHalal terlebih dahulu sebelum menggunakan sistem Kod QR.

 

“Semoga inisiatif ini akan membawa manfaat yang besar kepada ummah, seterusnya mengekalkan imej pensijilan halal Malaysia selaku peneraju pensijilan halal bertaraf dunia,” katanya.

 

Zulkifli berkata, JAKIM sentiasa komited dalam menangani isu-isu halal yang tular di media sosial.

Beliau berkata, jabatan itu mengeluarkan lebih 20 penjelasan rasmi berkenaan isu-isu halal yang tular tahun lalu, di media sosial melalui Facebook Bahagian Hab Halal, JAKIM seterusnya meredakan keresahan pengguna terhadap sesuatu dakwaan yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, beliau turut mengarahkan pihak JAKIM untuk mengatur pertemuan dengan agensi berkaitan dalam isu daging sebelum ini, serta syarikat pengimport daging demi mencari titik penyelesaian yang harmoni tanpa menjejaskan integriti kes berkenaan yang sedang dibicarakan di mahkamah.

 

“Semoga dengan inisiatif pengumuman Kod QR SmartHalal pada aplikasi telefon pintar SmartHalal ini akan meredakan keresahan pengguna untuk memperoleh status halal produk atau perkhidmatan halal di luar sana.

“Semoga ia menjadi asbab kebaikan dan hidayah buat umat seterusnya memelihara imej pensijilan halal Malaysia agar kekal unggul di mata dunia,” katanya.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Trenster Network

Sumber : BHonline

Be the first to comment on "Kod QR SmartHalal mudahkan carian status halal"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*