Awas!!! Anda Boleh Didenda Jika Biarkan Kucing Anda Berkeliaran Di Luar Rumah

 Sebuah majlis perbandaran di timur bandar raya Melbourne Australia memperkenalkan peraturan melarang kucing peliharaan daripada berkeliaran di luar kediaman pemilik haiwan itu mulai Oktober depan.

Majlis Perbandaran Knox itu memperkenalkan peraturan tersebut bagi melindungi haiwan-haiwan liar seperti burung lain daripada menjadi mangsa terkaman kucing.

Menurut portal berita 7News, penduduk di dalam kawasan majlis perbandaran tersebut akan menerima amaran pertama terlebih dahulu sebelum didenda kerana membiarkan kucing peliharaan mereka berkeliaran di luar pekarangan rumah.

Selepas amaran pertama diberikan, pemilik kucing yang didapati melanggar peraturan tersebut akan dikenakan denda sebanyak A$91 (RM283).

Jika melanggar peraturan tersebut buat kali kedua, pemilik kucing itu akan didenda sebanyak A$545 (RM1,695).

Denda sebanyak A$545 juga akan dikenakan kepada pemilik kucing peliharaan jika melakukan kesalahan berulang.

Seorang pakar ekologi di Universiti La Trobe di Australia, Dr. Jim Radford menyambut baik pelaksanaan larangan tersebut.

Katanya, kucing-kucing peliharaan merupakan masalah paling besar buat haiwan-haiwan liar lain.

Beliau dilaporkan berkata, larangan itu membolehkan hidupan liar seperti burung dan kelawar dilindungi daripada ancaman kucing tersebut. – Agensi

Sumber : Sinar harian

Be the first to comment on "Awas!!! Anda Boleh Didenda Jika Biarkan Kucing Anda Berkeliaran Di Luar Rumah"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*