Tular Dakwaan Datuk Seri Azmin Ali Langgar SOP Aidilfitri, Ini Hasil Siasatan Polis

Putrajaya : Polis tidak mengesan pergerakan keluar masuk tetamu di kediaman rasmi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10 di sini, yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, siasatan awal pihaknya mendapati semua individu berada di situ adalah Mohamed Azmin dan ahli keluarga yang sememangnya mendiami kediaman terbabit.

Katanya, pihaknya juga mengambil keterangan petugas keselamatan berkhidmat di kediaman itu yang mengesahkan tiada pergerakan tetamu pada 13 Mei seperti dakwaan tular di media sosial.

“Maklumat awal mendapati sambutan dan jamuan raya yang berlangsung hanya membabitkan individu dalam kalangan ahli keluarga Mohamed Azmin yang mendiami kediaman berkenaan.

“Bagaimanapun, Mohamed Azmin serta ahli keluarga, anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di kediaman beliau dan pemilik akaun Facebook (FB) Ummi Hafilda Ali serta saksi-saksi yang lain akan dipanggil untuk memberikan keterangan bagi membantu siasatan,” katanya di sini, hari ini.

 

Terdahulu, Mohd Fadzil berkata, polis menerima laporan berkenaan hantaran dalam FB menggunakan nama Ummi Hafilda Ali pada jam 3 petang semalam, yang antara lain mendakwa ahli keluarga Mohamed Azmin melakukan kesalahan merentas daerah dan berkumpul bagi meraikan Aidilfitri.

Katanya, kesalahan didakwa dilakukan kira-kira 8 pagi, Khamis lalu di kediaman rasmi menteri berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Fadzil turut menasihati pengguna media sosial supaya berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan atau komen yang boleh menjatuhkan imej, kredibiliti dan maruah seseorang atau jabatan.

Kerajaan menguatkuasakan PKP di seluruh negara bermula 12 Mei hingga 7 Jun dengan SOP terbaharu melarang aktiviti ziarah Aidilfitri dan tidak membenarkan penganjuran rumah terbuka atau majlis raya.

Sambutan Aidilfitri hanya dibenar dilakukan di kediaman yang membabitkan isi rumah sahaja.

 

Sumber : hmetro

Be the first to comment on "Tular Dakwaan Datuk Seri Azmin Ali Langgar SOP Aidilfitri, Ini Hasil Siasatan Polis"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*