Tiada Lagi Yang Menunggunya Bila Balik Kampung. Pemuda Kongsi Ibunya Telah Berpindah Ke ‘Rumah Baharu’

JIKA sebelum ini kepulangannya ke kampung halaman disambut dengan senyuman ceria si ibu di muka pintu, namun kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Tiada lagi kelibat wajah tua yang setia menanti, malah ucapan salam juga hanya disambut suasana sepi menandakan rumah yang kosong tanpa penghuni.

“Niat nak buat kejutan tapi mak tak ada pun dalam rumah. Baru aku ingat mak dah pindah ‘rumah baru’. Adik rindu mak. Rumah kita sunyi, suram tanpa mak sekarang,” begitulah luahan penuh emosi yang dikongsikan pemuda ini menerusi satu video di aplikasi TikTok.

Sehingga kini video berkenaan meraih 1.9 juta jumlah tontonan dalam tempoh kurang daripada 24 jam!

Berkongsi cerita dengan mStar, Saffee Rahim berkata pemergian ibunya, Nur Asiah Tamdun, 72, benar-benar memberi kesan kepada dirinya lebih-lebih dia sempat berbakti menjaga insan kesayangannya itu selama dua tahun sebelum arwah menghembuskan nafas yang terakhir.

 
 
 
 
 
View this post on Instagram
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

A post shared by mStar (@mstaronlineofficial)

Menurut pemuda berusia 30 tahun ini, ibunya meninggal dunia pada 31 Mei lalu kerana penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Sebelum ini saya bekerja di Kuala Lumpur namun mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung di Baling, Kedah untuk menjaga mak yang sakit.

“Kami berdua sahaja di rumah memandangkan adik beradik lain bekerja dan sudah berkeluarga. Sepanjang dua tahun menjaga mak, saya banyak share keadaannya di media sosial, jadi ramai yang tahu mengenainya.

mak baru 1

Ibu Saffee meninggal dunia pada 31 Mei lalu kerana menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang.

“Tapi selepas mak meninggal dunia, saya ‘berehat’ lama dari media sosial. Susah nak move on… sakit rindu tu perit. Sebulan selepas mak meninggal, saya perlahan-lahan move on dan pulang ke Shah Alam kerana ada buka bisnes nasi kukus.

“Baru-baru ini saya pulang ke kampung kerana temu janji vaksinasi. Masa buka pintu rumah, tengok ‘kosong’ sangat. Tiada lagi kelibat mak. Saya jadi ‘blur’. Semua sudut dalam rumah buatkan perasaan rindu tu bertandang semula,” ujarnya yang senang disapa sebagai Saffee ini.

Anak bongsu daripada lima beradik ini berkata, dia kini banyak meluangkan masa menziarahi ‘rumah baharu’ ibunya sebelum tiba masa untuk pulang semula ke ibu kota.

“Saya selalu ziarah kubur mak untuk hilangkan rasa rindu. Sekarang ni musim buah-buahan… saya kutip buah-buah dari pokok yang ditanam oleh arwah mak untuk disedekahkan dengan jiran.

“Banyak sangat kenangan sepanjang dua tahun jaga mak. Saya ingat lagi sehari sebelum dia meninggal dunia, dia sempat luah yang dia sangat sayangkan saya.

“Dia kata, kalau dia dah tak ada nanti, adik beradik kena berpakat… jangan sesekali bergaduh. Mak okay saja hari tu, tapi malam tu tiba-tiba keadaannya merosot dan nazak, sebelum menghembuskan nafas terakhir,” ujar Saffee yang sudah kehilangan bapa ketika tingkatan lima.

Tidak menyangka perkongsian videonya menjadi tular, Saffee meluahkan rasa syukur kerana ruangan komen dibanjiri dengan doa daripada netizen.

“Saya bersyukur, sejak mak sakit hinggalah dia dah meninggal dunia, ramai yang mendoakannya. Video ini sebenarnya untuk meluahkan rasa rindu kepada arwah, namun tak sangka ramai turut terkesan.

“Mungkin masa saya buat video ini, saya buat dengan sepenuh hati membuatkannya ‘sampai’ kepada mereka yang menonton.

“Memang rindu tu perit… namun saya lega kerana berpeluang berbakti menjaganya sehingga menghembuskan nafas terakhir. Kami adik beradik juga menguruskan jenazah mak dari awal hinggalah selesai semuanya.

mak baru 3

Saffee mengusahakan perniagaan nasi kukus bersama rakannya di Shah Alam.

“Buat yang masih ada ibu, janganlah sia-siakan ibu masing-masing. Jagalah mereka selagi masih ada waktu dan peluang. Masa mereka di dunia ini tak lama pun. Sekurang-kurangnya bila mereka ‘pergi’, kita tak terkilan,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, mStar pernah menyiarkan kisah Saffee menjaga ibunya yang terlantar sakit pada April lalu.

 

Sumber : mstar

 

 

Be the first to comment on "Tiada Lagi Yang Menunggunya Bila Balik Kampung. Pemuda Kongsi Ibunya Telah Berpindah Ke ‘Rumah Baharu’"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*