Bekas KPN, Tan Sri Hamid Bakal Buat Satu Pendedahan Berhubung Dakwaan Salah Guna Kuasa

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dipercayai akan melakukan pendedahan berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang tokoh berjawatan penting dan dipercayai berpangkat ‘Datuk Seri’.

Abdul Hamid dalam kenyataan ringkas kepada Astro AWANI mendakwa, individu tersebut dipercayai menyalahgunakan kuasa dengan menggunakan salah satu cabang institusi kepolisan negara dipercayai Cawangan Khas (Special Branch) bagi tujuan politik.

“Saya akan membuat pendedahan mengenai salah guna kuasa untuk tujuan menekan musuh politik individu berkenaan,” katanya dalam khidmat pesanan ringkas (WhatsApp) di sini, pada Isnin.

Namun, Abdul Hamid tidak menyatakan bila pendedahan itu akan dilakukannya.

Abdul Hamid, 62, menamatkan perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara pada Isnin. Timbalan beliau, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dilantik sebagai KPN baharu berkuat kuasa 3 Mei, 2021.

Abdul Hamid memegang jawatan pegawai nombor satu PDRM itu secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun bermula 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Selain itu, pada Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara yang diadakan di Mes Pegawai Bukit Aman, Abdul Hamid yakin Acryl Sani mampu memberi banyak manfaat kepada kejayaan PDRM.

Beliau berkata, sokongan dan dokongan dari Ketua-ketua Polis Negeri dan Pengarah-pengarah Bahagian akan memastikan kejayaan Acryl Sani dalam pasukan.

Sumber : Astro Awani

Be the first to comment on "Bekas KPN, Tan Sri Hamid Bakal Buat Satu Pendedahan Berhubung Dakwaan Salah Guna Kuasa"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*