Penat tunggu 13 tahun rumah tak siap, pembeli buat sendiri

Pasir Puteh:  Selepas puas menanti selama 13 tahun dan rumah dibeli gagal disiapkan, beberapa pembeli di Taman Jaza Seri Pasu, di sini, mengambil inisiatif menyiapkan sendiri rumah mereka.

Pembeli terdiri daripada anggota serta pesara tentera dan penjawat awam itu mendakwa rumah mereka sepatutnya boleh diduduki pada 2008.

Pembeli, Amran Awang, 41, berkata, dia membelanjakan lebih RM50,000 bagi menyiapkan sendiri rumahnya untuk diduduki selepas bersara sebagai tentera.

Katanya, dia menyambung sendiri kerja pembinaan rumahnya termasuk bekalan elektrik, air dan infrastruktur lain seperti jalan dan longkang.

“Kami rasa dianiaya apabila sepatutnya kerja membina dan menyediakan kemudahan ini disediakan pihak pemaju, ini bukan tempoh masa setahun, dua tetapi terlampau lama apabila buka tender 2006 dan janji siap 2008.

“Sepatutnya kami masuk ke rumah siap sedia diduduki 13 tahun lalu, sekarang saya terpaksa siapkan sendiri pula rumah yang dibeli.

“Tetapi tiap-tiap bulan, duit kami dipotong, sekarang bayaran rumah ini saya selesaikan sudah 60 peratus daripada keseluruhan pinjaman,” katanya ketika ditemui.

Amran berkata, setakat ini pembeli dimaklumkan syarikat pemaju itu sudah menyerahkan projek itu kepada syarikat lain, namun kedua-dua syarikat tidak bertanggungjawab menyelesaikan rumah pembeli meskipun bayaran rumah dipotong setiap bulan.

Mohd Suhairi Mohd Zainal Abidin, 34, berkata dia lebih terkilan apabila sudah membuat bayaran penuh RM65,000 untuk rumah di situ termasuk mengorbankan simpanan bertahun-tahun ketika berkhidmat sebagai tentera.

Katanya, impian untuk mendiami rumah sendiri musnah apabila bukan sahaja rumah diimpikan tidak siap sehingga kini, malah dia terpaksa mengeluarkan duit lain dalam usaha menduduki rumah berkenaan.

“Sepatutnya saya, isteri dan empat anak sudah merasai duduk di rumah sendiri, kami harap masalah ini mendapat perhatian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Bantulah kami siapkan rumah kerana kebanyakan pembeli dalam kalangan orang berpencen yang mengharapkan ada rumah untuk didiami secara kekal,” katanya.

Sementara itu, pengerusi taman berkenaan, Mohd Solahuddin Mohamad berkata, rumah di situ dijual dengan harga sekitar RM65,000 hingga RM100,000 membabitkan dua jenis rumah iaitu banglo dan teres dengan jumlah keseluruhan 180 unit kediaman.

“Pinjaman dipotong setiap bulan, macam saya sebanyak RM618 sebulan dipotong untuk bayaran rumah, sekarang masih menyewa dengan kadar RM450 sedangkan duit pencen pula hanya RM1,500.

“Bakinya sudah tidak berapa banyak untuk sara hidup bersama isteri dan empat anak serta tiga cucu.

“Kami mohon sangat campur tangan pihak berkaitan, serahkan projek kepada syarikat pemaju mampu menyiapkan rumah kami, tambahan pula kos pembinaan seperti besi, simen semakin naik harga, menyukarkan kami menunaikan impian memiliki rumah sendiri sejak sekian lama,” katanya.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Trenster Network

Sumber : HMetro

Be the first to comment on "Penat tunggu 13 tahun rumah tak siap, pembeli buat sendiri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*