Bapa Terharu, Anak-anak Berpakat Belikan Kereta Idaman

 

TIADA ungkapan yang mampu diluahkan, sebaliknya hanya linangan air mata bagi menggambarkan perasaan yang cukup terharu.

Sesekali pergerakan tangan dibuat sebagai tanda isyarat dapat disaksikan menerusi satu klip video yang dimuat naik di laman sosial, sehingga mengundang sebak netizen.

Tangisan penuh bermakna itu sebenarnya milik seorang bapa yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), sebaik menerima kejutan sebuah kereta baharu daripada anak-anak.

Salah seorang daripada anak kepada bapa 0KU itu, Roslina Othman berkata, kejutan dibuat di sebuah pusat pameran kereta di Kuala Terengganu, Terengganu, petang Rabu.

Sebak sambil memegang kunci kereta baharu.

Wanita berusia 29 tahun itu berkata, hadiah itu juga adalah hasil perkongsian adik-beradik bagi memenuhi impian bapa mereka yang berusia 57 tahun untuk memiliki kereta baharu.

“Ayah dan mak saya, kedua-duanya merupakan OKU pekak dan bisu. Ayah sebenarnya dah lama mengimpikan kereta baru, sejak lebih lima tahun lalu.

“Kereta ayah sebelum ini adalah second hand (terpakai), dengan keadaannya yang tidak begitu elok sehingga perlu dibaiki. Kalau hujan lebat, memang boleh bocor dari tepi tingkap masuk dalam kereta,” katanya kepada mStar.

Bapa Roslina (kiri) bersama ibu yang juga 0KU tersenyum menerima kejutan.

Roslina yang merupakan anak sulung daripada empat beradik itu berkata, bagaimanapun, hasrat bapanya untuk memiliki kereta baharu terpaksa ditangguhkan atas beberapa sebab.

“Sebelum saya kahwin pada 2015, ayah selalu cakap kat saya nak rumah lebih selesa dari sebelumnya, iaitu rumah papan. Jadi, kami usahakan dahulu untuk dapatkan rumah baharu untuk ayah dan mak.

“Bertahun-tahun kami tinggal di rumah papan dan di situ juga kami dibesarkan. Alhamdulillah atas usaha kumpul duit, dapat buat rumah batu yang lebih besar di tapak yang sama. Walaupun bukan rumah mewah, tapi dari buruk kepada yang lebih besar,” katanya.

Roslina (dua, kiri) bersama keluarga.

Anak kelahiran Kuala Terengganu itu mengakui pelbagai dugaan dan rintangan untuk menunaikan hasrat bapanya memiliki kereta baharu, saban tahun.

“Macam-macam dugaan, setiap hari fikir, doa kepada Allah semoga dipermudahkan urusan, tahun berganti tahun. Ayah semakin berumur dan selalu sakit.

“Berbincang dengan adik-beradik, kami berpakat untuk berkongsi bersama. Ayah sebenarnya tak minta kereta mewah pun, tapi mahu kereta yang lebih selesa dan gear automatik,” katanya sambil menambah antara dugaan tersebut adalah faktor kewangan dan pinjaman bank.

Rumah lama (atas) dan rumah baharu (bawah) yang didiami keluarga Roslina.

Namun, Roslina yang merupakan usahawan bersyukur apabila rancangan untuk menunaikan hasrat bapanya itu membuahkan hasil dan kejutan dirancang bersama adik-beradik.

“Kami bawa ayah pergi showroom untuk survey kereta baharu. Ayah sudah tentu excited lebih-lebih lagi dia pernah cakap teringin nak ada kereta Perodua Bezza macam kereta ayah saudara saya.

 

Macam-macam dugaan, setiap hari fikir, doa kepada Allah semoga dipermudahkan urusan, tahun berganti tahun

ROSLINA OTHMAN

“Tapi ayah tak tahu sebenarnya kereta tu sudah dibeli, dan hanya tinggal serah kunci. Sebab itulah berkali-kali dia tak percaya sebab tak sangka kunjungan dia ke showroom tu sebenarnya terus dapat kereta,” katanya sambil menambah kejutan turut disaksikan oleh ibunya yang juga 0KU pekak dan bisu, berusia 49 tahun.

Roslina yang juga ibu kepada seorang anak itu menyifatkan walaupun bapanya 0KU tapi beliau komited dalam membesarkan mereka adik-beradik, dengan bekerja sebagai pemandu lori.

Bergambar kenangan bersama cucu

“Sekarang waktu untuk ayah berehat, dan kami buat kejutan untuk menggembirakan ayah dan mak. Ayah seorang yang tegas tetapi cukup sporting menyokong minat anak-anak.

“Ayah sebenarnya susah menangis. Kali terakhir ayah menangis sewaktu ibu dan bapanya meninggal dunia pada 2018 dan 2014.

“Bila kami tengok ayah menangis semasa kejutan dapat kereta baharu tu memang tak sangka sangat. Kami adik-beradik pun turut menangis tengok reaksi ayah,” katanya.

 

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook Trenster Network

Sumber :Mstar

Be the first to comment on "Bapa Terharu, Anak-anak Berpakat Belikan Kereta Idaman"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*