TYT Sabah akan tentukan antara 2 calon ini ketua menteri

 

Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin dilaporkan memasuki kawasan Istana Negeri di Kota Kinabalu pada 2.27 petang tadi, manakala Ketua Bersatu Sabah Hajiji Mohd Nor tiba seminit kemudian.

Bung dilaporkan laporan berita kilat Bernama berkata bakal ketua menteri Sabah yang baru akan diketahui selepas pengumuman Tuan Yang di-Pertua Negeri Juhar Mahiruddin.

Hajiji dan Bung antara nama yang disebut-sebut sebelum ini sebagai calon ketua menteri.

Terdahulu hari ini, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah bermesyuarat di Hotel Magellan Sutre di Kota Kinabalu.

Bung Moktar dilaporkan gembira dengan hasil perbincangan antara pemimpin GRS tadi.

PN, BN dan sekutunya sekarang dilaporkan memiliki 41 kerusi DUN dan mahu calon mereka mengangkat sumpah sebagai ketua menteri Sabah yang baru hari ini.

Ahmad Maslan sahkan GRS ada 41 majoriti, 3 Adun bebas beri sokongan

Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan mengesahkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memiliki 41 kerusi DUN berikutan 3 ADUN bebas menyatakan sokongan terhadap gabungan itu.

Ini berbanding Warisan Plus yang hanya mempunyai 32 kerusi.
Beliau turut mengesahkan bahawa Ketua BN Sabah, Bung Moktar Radin akan menghadap Yang di-Pertua Sabah, Juhar Mahiruddin bersama tiga lagi pemimpin GRS iaitu Ketua Bersatu Sabah, Hajiji Noor, Presiden STAR Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim untuk membentuk kerajaan negeri yang baru.

Hajiji antara 5 pemimpin utama parti menang PRN Sabah

Kota Kinabalu: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah Datuk Hajiji Noor menjadi antara lima pemimpin utama parti di negeri itu yang menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16 pada Sabtu.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Sabah itu, yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sulaman, menang atas tiket PN dengan majoriti 3,099 undi sekali gus mempertahan kerusi yang disandangnya sejak 1990.

Karisma, kepimpinan dan keperibadian Hajiji, 65, yang sentiasa mesra rakyat selain komited dalam menggalas tanggungjawab sebagai wakil rakyat di kawasan itu terus menambat hati penduduk Dun Sulaman apabila beliau memperoleh 5,919 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau menewaskan anak saudaranya, Datuk Aliasgar Basri daripada Warisan yang mendapat 2,820 undi dan calon Parti Cinta Sabah (PCS) Datuk Rekan Hussien (253 undi).

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang buat pertama kali mencuba nasib memasuki gelanggang pilihan raya negeri berjaya memperoleh kemenangan di kerusi Dun Lamag, satu daripada 13 kerusi baharu yang ditawarkan pada PRN Sabah kali ini.

Kemenangan itu sekali gus menjadikan Bung Moktar, 61, sebagai penyandang pertama di kerusi baharu itu dengan majoriti 661 undi.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu, yang terkenal dengan kelantangannya bersuara di Dewan Rakyat, menewaskan Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd Ismail Ayob dalam persaingan lima penjuru.

Bung Moktar, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, memperoleh 3,035 undi manakala Mohd Ismail mendapat 2,374 undi.

Tiga lagi calon iaitu Razman Mayah (PCS), Sairin Abd Rahman daripada Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS) dan Junny @ Karuak Abdullah (Bebas) masing-masing hilang wang deposit.

Pemimpin lain yang turut meraih kemenangan pada pilihan raya negeri kali ini ialah Ketua Menteri Sabah yang juga Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang mempertahan kerusinya di Dun Senallang dengan majoriti 4,631 undi.

Bagaimanapun, majoriti yang diperoleh beliau merosot jika dibandingkan dengan jumlah 5,909 undi semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Pada PRN Sabah kali ini, Mohd Shafie memperoleh 6,363 undi mengalahkan pencabar terdekat yang juga anak saudaranya, Norazman Utoh Nain daripada PN yang meraih 1,732 undi dalam pertandingan lima penjuru.

Calon lain iaitu Mohammad Ramzan Abdul Wahab (USNO) mendapat 61 undi, Madjalis Lais (PCS) meraih 51 undi manakala Datu Pg Ahmad Datu Ali Alam (PPRS) memperoleh 39 undi.

Turut meraih kemenangan Pengerusi PKR Sabah Datuk Christina Liew, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, selepas beliau berjaya menewaskan lapan pencabarnya termasuk beberapa nama besar dalam arena politik negeri dengan majoriti 5,347 undi.

Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar itu juga berjaya mengharungi persaingan sengit sembilan penjuru apabila meraih 7,796 undi sekali gus menewaskan pencabar terdekatnya, Timbalan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Dr Yee Moh Chai yang memperoleh 2,449 undi.

Tujuh lagi calon yang mencabar Liew ialah Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin, Timbalan Presiden PCS Datuk Pang Yuk Min, Chong Tze Kuin (Parti Gagasan Rakyat Sabah), Lo Yau Foh (PPRS) serta tiga calon Bebas iaitu Sim Sie Hong, Ng Chun Sua dan Marcel Jude, masing-masing hilang wang deposit.

Jauh di Sandakan, Pengerusi DAP Sabah Datuk Frankie Poon Ming Fung, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, turut mempertahan kerusi Dun Tanjong Papat dalam persaingan tujuh penjuru dengan majoriti 3,743 undi.

Poon, yang bertanding atas tiket Warisan, memperoleh 5,900 undi menewaskan pencabarnya, Ken Yong daripada PN (2,157 undi) manakala lima pencabar lain iaitu Mohd Yunus Apil (USNO), Chung Yu Seng (PCS), Lam Jin Dak (LDP), Jamal Ali (PPRS) dan Noraini Sulong (Bebas) masing-masing hilang wang deposit.

Pada PRU-14, Poon menang kerusi Dun Tanjong Papat dengan majoriti 1,816 undi mengalahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan Shu Kiah, yang bertanding atas tiket BN.

 

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! Metro Kini

Sumber: http://trendingsangat.pw/

Be the first to comment on "TYT Sabah akan tentukan antara 2 calon ini ketua menteri"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*